AKAR, BUAH, BATANG (Negara Anjing Gumilang Darus Salam)
Mabadiuth Thalathah+Isa Bugis+Lembaga Kerasulan [ Pemuda Kahfi/MD/Futuh/M1/M2/MadinahKedua/Ka'bah II/Binatang/SapiEmasPerahan/Rabb@Pengatur/PonziScheme/MLM ]
Thursday, June 02, 2011
Khabar Gerakan Al Kahfi, masih adakah di tempat anda?
Monday, August 10, 2009
Bayar Ikat Jamin RM3000 dikurangkan
18 didakwa sebar dakyah bertentangan Islam
SEREMBAN: Lapan belas orang termasuk lima wanita, kebanyakannya remaja, dihadapkan ke Mahkamah Syariah di sini semalam kerana mengajar tanpa tauliah dan dikesan menyebarkan dakyah bertentangan dengan Islam.
Mereka dibawa ke mahkamah dalam tiga kenderaan berasingan.
Dua lelaki yang berusia lewat 20-an dibawa ke pekarangan mahkamah lebih awal dan dikenakan pertuduhan di hadapan Majistret Hamizam Mohd. Nor.
Bagaimanapun pasukan pendakwa raya yang terdiri daripada Mohd. Sazrin Abd. Aziz dan Nora Md. Nazri memohon tarikh baru untuk sebutan semula kes.
Kedua-dua mereka menghadapi tuduhan di bawah Seksyen 53(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 2003 kerana menyebarkan ajaran agama Islam yang tidak mendapat kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.
Pasukan pendakwa meminta mahkamah mengenakan ikat jamin RM3,000 ke atas setiap tertuduh itu dengan dua penjamin memandangkan kedua-dua mereka bukan berasal dari Negeri Sembilan dan telah melakukan kesalahan serius.
Hamizam membenarkan ikat jamin RM2,500 manakala sebutan semula kes ditetapkan 14 September.
Dalam pada itu, 16 yang lain termasuk lima wanita, awal 20-an, dituduh bersubahat dengan kedua-dua mereka.
Pasukan pendakwa juga memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM3,000. Bagaimanapun mereka merayu agar dikurangkan antara RM1,000 dan RM1,500 kerana tidak mampu menyediakan jumlah tersebut.
Hamizam menetapkan RM1,800 dengan seorang penjamin.
Kes mereka juga akan disebut semula pada tarikh yang sama. Kelmarin, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINA) telah menahan 20 anggota dipercayai dari sebuah kumpulan radikal Islam dalam operasi khas di Taman Perindustrian Oakland di sini.
JHEAINS turut menahan seorang lelaki berpakaian kemas dan berkereta mewah berusia 28 tahun, dipercayai ketua kumpulan itu.
Ketua Operasi JHEAINS, Mohd. Zol Sidek berkata, kumpulan lelaki dan wanita berusia dalam lingkungan usia 20-an ditahan ketika menjalankan kuliah mereka.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan jika anggota kumpulan itu mempunyai kaitan dengan pergerakan Negara Islam Indonesia (NII), yang didakwa berjuang menubuhkan sebuah negara Islam.
Katanya, anggota kumpulan itu ditahan atas kesalahan mengajar tanpa tauliah dan dikesan menyebarkan dakyah yang bertentangan dengan Islam.
Menurutnya, kegiatan kumpulan itu dimaklumkan kepada mereka oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang telah melakukan beberapa tangkapan terhadap anggota kumpulan itu di negeri itu.
Mohd. Zol berkatam anggota kumpulan itu akan didakwa mengikut Seksyen 53 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 2003 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara.
Katanya, kumpulan itu sudah mula begerak sejak 1998 tetapi hanya aktif pada 2003.
Lagi Liputan Tangkapan di Negeri Sembilan
20 pengikut ajaran sesat ditahan
pengarang@utusan.com.my
![]() |
| SEBAHAGIAN pengikut ajaran sesat yang ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan bersama polis di Taman Perindustrian Oakland, Seremban, semalam. |
SEREMBAN 9 Ogos - Seramai 20 pengikut ajaran sesat ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) bersama polis di Taman Perindustrian Oakland, Seremban 2 di sini hari ini.
Dalam operasi yang bermula pukul 11 pagi itu, kesemua mereka terdiri daripada lelaki dan wanita berusia lingkungan 20-an sedang asyik mengikuti kelas agama yang dikendalikan oleh seorang 'pendakwah' berusia 28 tahun di sebuah rumah kedai di kawasan berkenaan.
Ketua Operasi JHEAINS, Mohd. Zul Sidek memberitahu, kumpulan tersebut dipercayai berada di premis itu sejak semalam dan bermalam di situ kononnya untuk proses 'tarbiah'.
"Hasil risikan yang dibuat sejak beberapa hari lalu, kami mendapat maklumat bahawa terdapat sebuah kumpulan yang mencurigakan di kawasan Taman Perindustrian Oakland," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Operasi yang turut disertai pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu turut menahan pendakwah berkenaan untuk disoal siasat.
"Kami masih menyiasat latar belakang kumpulan ini dan ajaran yang dibawanya. Sebagai maklumat awal, kami dapati ketua mereka tidak mempunyai sebarang tauliah untuk mengajar agama di negeri ini," ujarnya.
Bagaimanapun, Utusan Malaysia difahamkan, kumpulan itu mempunyai persamaan dengan sebuah pertubuhan yang diharamkan di Indonesia iaitu Negara Islam Indonesia (NII). NII dikatakan membawa ideologi antikerajaan serta menolak al-Quran dan Hadis.
Mohd. Zul memberitahu, kumpulan ini dipercayai bergerak aktif di sekitar kawasan Lembah Klang dan Selangor.
"Kumpulan ini mula dikesan pada tahun 1998 dan bergerak aktif pada tahun 2003 di sekitar Ampang dan beberapa kawasan di Lembah Klang dan Selangor dengan pengikut lebih 2,000 orang. Ini merupakan kes pertama yang dikesan di Negeri Sembilan.
"Hasil serbuan yang dilakukan ini, kami dapati kumpulan itu cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menjadikan markas mereka di sebuah premis yang tersembunyi," katanya.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 2003. Jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di tempat kejadian mendapati, pengikut ajaran sesat itu terdiri daripada golongan belia dan profesional.
Kesemua mereka kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban untuk siasatan lanjut.
=================
p/s: NII faksi Komanden Wilayah 9 dikenali mengambil al-Quran sahaja, tetapi tafsiran mengikut faham Mabadiuts Tsalasah (Prinsip Tiga)
Liputan Tangkapan di Negeri Sembilan
Kelas agama tanpa tauliah diserbu
Oleh Ziauddin Sharuddin
zia@bharian.com.my
PENGIKUT kumpulan menaiki trak polis untuk siasatan lanjut dalam operasi di Seremban, semalam. |
Kumpulan boleh ancam keselamatan negara
SEREMBAN: Sebuah kumpulan diketuai golongan profesional serta mensasarkan golongan muda untuk mempelajari ilmu agama dan dikenakan tindakan di Selangor tahun lalu, diserbu dalam operasi bersama Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (Jains) dan polis di sini, semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 11 pagi di tingkat tiga rumah kedai di Kawasan Perniagaan Oakland dekat sini itu, seramai 20 orang yang kebanyakan berumur awal 20-an ditahan ketika sedang mengikuti kelas agama.
Ketua operasi Jains, Mohd Zol Sidek, berkata semua yang ditahan dengan sebahagiannya perempuan dan berasal dari sekitar Lembah Klang datang ke sini kelmarin dan bermalam di rumah kedai itu.
"Kumpulan itu ditubuhkan di Selangor pada 1998 dan bergerak aktif pada 2003. Tahun lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bertindak terhadap kumpulan itu kerana mengajar agama tanpa tauliah dan memperkenalkan doktrin palsu," katanya ketika ditemui di kawasan rumah kedai itu, semalam.
Mohd Zol berkata, serbuan itu dilakukan dengan kerjasama Jais yang memaklumkan bahawa anggota kumpulan itu akan mengadakan kegiatan mereka di sini.
Katanya, mengajar agama tanpa tauliah menyalahi Seksyen 53 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 2003 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda hingga RM3,000 atau penjara dua tahun.
Siasatan katanya, sedang dilakukan dan enggan mengesahkan sama ada ajaran kumpulan itu bertentangan dengan Islam.
Dua lelaki yang dipercayai pemimpin kumpulan itu dibawa secara berasingan menaiki sebuah kereta dan van, manakala pengikut dibawa menaiki trak polis.
Pemilik restoran di tingkat bawah rumah kedai itu memberitahu Berita Harian, kumpulan itu menyewa di tingkat tiga bangunan itu sejak setahun lalu.
Sunday, August 09, 2009
Pengikut ditangkap
Dipercayai anggota kumpulan Negara Islam Indonesia
SEREMBAN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINs) telah menahan 20 anggota dipercayai dari sebuah kumpulan radikal Islam dalam operasi khas di Taman Perindustrian Oakland di sini semalam.
Dalam operasi bermula 11 pagi tadi di sebuah rumah kedai tingkat atas sebuah restoran Cina di Jalan Haruan di sini, JHEAINS turut menahan seorang lelaki berpakaian kemas dan berkereta mewah berusia 28 tahun, dipercayai ketua kumpulan itu.
Ketua Operasi JHEAINS, Mohd. Zol Sidek berkata kumpulan lelaki dan wanita berusia dalam lingkungan usia 20-an ditahan ketika menjalankan kuliah mereka.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan jika anggota kumpulan itu mempunyai kaitan dengan pergerakan Negara Islam Indonesia (NII), yang didakwa berjuang menubuhkan sebuah negara Islam.
"Buat masa ini, kita belum dapat kaitkan kumpulan ini dengan NII kerana masih dalam siasatan," katanya kepada pemberita di lokasi operasi itu di sini.
Katanya anggota kumpulan itu ditahan atas kesalahan mengajar tanpa tauliah dan dikesan menyebarkan dakyah yang bertentangan dengan Islam.
Menurutnya, kegiatan kumpulan itu dimaklumkan kepada mereka oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang telah melakukan beberapa tangkapan terhadap anggota kumpulan itu di negeri itu.
Mohd. Zol berkatam anggota kumpulan itu akan didakwa mengikut Seksyen 53 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 2003 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara.
Katanya, kumpulan itu sudah mula begerak sejak 1998 tetapi hanya aktif pada 2003.
Sumber Bernama memberitahu kumpulan NII ditubuhkan di Indonesia untuk tujuan menegakkan sebuah negara Islam tetapi berkiblatkan ajaran agama yang agak radikal.
Mengikut ajaran kumpulan itu, orang bukan Islam harus diperangi serta orang Islam yang tidak mengikut kumpulan mereka dianggap bukan Islam. BERNAMA
Ustaz Muda Berkereta Mewah?
Sangsi ajaran guru muda
asnawi@hmetro.com.my
SEREMBAN: Mengejutkan apabila ketua kumpulan ajaran tidak bertauliah berusia lewat 20-an, mampu hidup senang dengan memandu kereta mewah.
Lelaki yang dipercayai daripada golongan profesional itu dikatakan menjadi ketua sekumpulan pengikut ajarannya sejak setahun lalu.
Dia disyaki bertindak sebagai tenaga pengajar kepada kumpulan yang menjadikan bangunan sebuah rumah kedai di Kawasan Perniagaan Oakland di sini, sebagai markas operasi.
Lebih misteri apabila semua pengikut ajaran kumpulan itu golongan muda dipercayai lepasan sekolah berusia awal 20-an.
Mereka hanya mengadakan ‘kelas’ sekali atau dua kali sebulan pada hujung minggu dan bermalam di tingkat tiga bangunan rumah kedai yang disewa itu.
Markas operasi kumpulan itu bagaimanapun diserbu sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dengan bantuan polis kira-kira jam 7 pagi, semalam.
Ketua Operasi JHEAINS, Mohd Zol Sidek, berkata dalam serbuan itu, pihaknya menahan 20 orang termasuk perempuan yang dipercayai pengikut ajaran berkenaan.
“Seorang lelaki berusia lewat 20-an, dipercayai ketua kumpulan itu dari Lembah Klang turut ditahan.
“Kumpulan itu ditubuhkan di Selangor sejak 1998 dan bergerak aktif pada 2003. Tahun lalu, Jais bertindak terhadap kumpulan itu kerana mengajar agama tanpa tauliah dan memperkenalkan doktrin mengelirukan,” katanya.
Beliau berkata, serbuan itu dilakukan dengan kerjasama Jais yang memaklumkan anggota kumpulan berkenaan akan mengadakan kegiatan mereka di sini, semalam.
Menurutnya, mengajar agama tanpa tauliah menyalahi Seksyen 53 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 2003 dan jika sabit kesalahan boleh didenda hingga RM3,000 atau dua tahun penjara.
“Setakat ini, kami masih menjalankan siasatan lanjut mengenai ajaran kumpulan itu dan belum dapat dipastikan sama ada ia bertentangan ajaran Islam atau sebaliknya.
“Seramai 30 anggota penguat kuasa JHEAINS dan Jais dengan dibantu 30 anggota polis menyertai serbuan itu,” katanya.
Tinjauan mendapati jabatan agama dan polis turut membawa turun beberapa dokumen dan peralatan daripada pusat berkenaan.
Dua lelaki dipercayai pemimpin kumpulan itu dibawa secara berasingan menaiki sebuah kereta dan van, manakala kumpulan pengikut dibawa menaiki trak polis.
Serbuan itu mengejutkan orang ramai di kawasan sekitar kerana mereka langsung tidak menyangka bangunan itu digunakan kumpulan ajaran terbabit.
Pengikut Kuliah Sesat dan Sifoo Berkereta Mewah ditangkap di SEREMBAN
20 ahli kumpulan sesat ditahan
amir.azam@kosmo.com.my

SEREMBAN - Seramai 20 orang dipercayai anggota salah sebuah kumpulan radikal Islam di Taman Perindustrian Oakland di sini semalam terkedu apabila premis tempat mereka 'berkuliah' digempur Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).
Dalam operasi bermula 11 pagi di sebuah rumah kedai tingkat atas di sini, JHEAINS turut menahan seorang lelaki berpakaian kemas dan berkereta mewah berusia 28 tahun, dipercayai ketua kumpulan itu.
Ketua Operasi JHEAINS Mohd. Zul Sidek berkata, kumpulan lelaki dan wanita berusia dalam lingkungan usia 20-an ditahan ketika mereka menjalankan kuliah mereka.
"Ahli kumpulan itu dipercayai telah berada di premis tersebut sejak semalam (kelmarin) dan mereka bermalam di situ," kata beliau selepas operasi berkenaan di sini.
Katanya, anggota kumpulan itu ditahan atas kesalahan mengajar tanpa tauliah dan dikesan menyebarkan dakyah yang bertentangan dengan Islam.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan jika anggota kumpulan itu mempunyai kaitan dengan pergerakan Negara Islam Indonesia (NII) atau Gerakan Pemuda Kahfi (GPK), yang didakwa berjuang menubuhkan sebuah negara Islam.
"Buat masa ini, kita belum dapat kaitkan kumpulan ini dengan Pemuda Kahfi kerana masih dalam siasatan," kata beliau.
Sunday, April 26, 2009
Tuesday, December 30, 2008
Santri Universiti Malaya kepingin berAlQuran dengan al Kahfi

source
| Pemuda Kahfi - Ajaran Sesat di UM? |
Saya berasa terpanggil untuk membuat pendedahan mengenai aktiviti gerakan ajaran sesat yang kini melanda negara kita. Untuk pengetahuan, anak saya yang sedang menuntut di Universiti Malaya dan tinggal di Kolej Kediaman Raja DR. Nazrin Shah telah menceritakan kepada saya tentang pengalamannya yang hampir terlibat dengan ajaran kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai Pemuda Kahfi setelah dipujuk rayu oleh rakan-rakannya.Saya amat terkejut dengan pengakuannya kerana setahu saya anak saya merupakan seorang anak yang taat dan patuh dengan ajaran Islam. Saya juga sama sekali tidak percaya bagaimana sebuah IPTA terkemuka sebegini amat terdedah dengan risiko ajaran sesat yang tidak sepatutnya berlaku seolah-olah sebagai gedung ajaran sesat. Lebih-lebih lagi isu ini melibatkan mahasiswa yang sepatutnya pada usia sebegini mereka lebih didedahkan dengan ilmu agama yang sebenarnya.
Anak saya memberitahu bahawa kumpulan ini pada peringkat awalnya melibatkan kelas pengajaran dan pemahaman Al-Quran yang dilakukan secara tersusun dan rahsia. Ramai di kalangan ahli terdiri daripada profesional seperti doktor, jurutera, peguam, pensyarah dan pengatur cara. Sasaran yang berpotensi untuk didekati ialah kawan rapat secara individu yang menyebabkan ianya berkembang tanpa diketahui umum seperti mana yang terjadi kepada anak saya ini.
Selain itu, kerahsiaan atau dalam bahasa arab dipanggil sebagai "sir" yang begitu tinggi dapat dilihat melalui tempat belajar yang berubah-ubah, transit kereta, menutup mata dalam perjalanan, eksploitasi kewangan atas nama pembelajaran Al-Quran. Kerahsiaan nama penyampai pengajian dan tidak membenarkan pengajian ini diketahui umum. Keahlian sesama ahli dalam gerakan juga dirahsiakan, malah mempunyai beberapa lapisan kepimpinan yang tidak dapat dikenal pasti. Mereka bergerak melalui sel-sel kecil di mana anggota antara sel ini tidak mengenali anggota sel yang lain dan tidak mengetahui nama dan maklumat penyampai dan pimpinan atasan.
Sebelum memasuki kelas tilawah, mereka dikehendaki membayar wang `taubat' dengan nilai minimum RM 300. Ini adalah tambahan kepada RM 1000 yang telah dibayar untuk menyertai kelas ini sebagai pendaftaran awal, RM 60 bulanan, RM 70 untuk pembelian barang keperluan dan RM 3500 untuk bayaran melawat "Negara Islam". Cara pengajaran dilakukan secara tidak normal seperti menutup mata, masa yang tidak menentu berdasarkan panggilan telefon, pertanyaan bertubi-tubi dan proses memerangkap peserta dengan idea ajaran dengan justifikasi ayat alQuran yang ditafsir secara literal mengikut tujuan dan kepentingan gerakan ini. Bentuk nama, bayaran dan modus operandi juga boleh berubah-ubah mengikut keadaan tetapi bentuk asasnya sebagaimana yang sebutkan di atas.
Gerakan ini juga telah dipastikan bahawa mereka memberi maksud yang menyeleweng terhadap AI-Quran dan juga Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Antara contoh pemahaman yang dibawa bahawa baginda Rasulullah s.a.w diertikan tidak lebih dan penyampai risalah Allah dan melaksanakan arahan-Nya, malah orang lain juga adalah rasul. Memberi pemahaman yang menyeleweng dalam melaksanakan ibadah, seperti tidak perlu solat jika berada pada zaman Jahiliyyah atau zaman Makkah, solat hanya di tempat yang aman. Mengeksploitasi kemampuan kewangan para ahli dengan mengenakan bayaran-bayaran tertentu termasuk yang berkala atas nama 'Daulah Islamiyyah'.
Menurut anak saya, kawan-kawannya yang sudah terpedaya dengan ajaran ini amat payah untuk melepaskan diri disebabkan sudah terikat dengan pembayaran tadi. Gerakan ini bukan sahaja berlangsung di kolej anak saya sahaja malah telah tersebar di kolej kediaman kedua, ketiga dan kesebelas. Difahamkan bahawa terdapat individu daripada pentadbiran kolej sendiri yang menjadi dalang terhadap ajaran ini. Cukup merisaukan saya kerana ibu bapa telah menghantar anak-anak ke universiti dengan harapan pihak pentadbiran universiti dapat menjaga dan membentuk jati diri yang mantap tetapi sebaliknya.
Maka, saya ingin membuat penegasan agar pihak pentadbiran universiti, kolej-kolej kediaman dan persatuan pelajar agar tidak memandang remeh perkara ini kerana ia umpama menggadaikan agama tercinta. Minta pihak bertanggungjawab dari jabatan agama Islam menyiasat perkara ini segera kerana ia sudah lama berleluasa!
Saya juga selaku bapa yang kecewa dengan kejadian yang menimpa ini menyeru agar seluruh masyarakat Islam mengambil sikap berhati-hati memantau ahli keluarga di dalam mengikuti pembelajaran agama terutama sekali berkait rapat dengan modusoperandi sebegini. Pemuda sepatutnya dapat membezakan kebenaran dan kebatilan dengan waras di samping mereka ini perlu diberikan pedoman agama yang tidak memesongkan [sumber: majalah i & terjah.com].
BAPA KECEWA Sekinchan,
Selangor Darul Ehsan.
Sumber : Majalah i (disember)
Majalah info Islam terbitan Krangkraf.
Dapatkan naskah anda di toko-toko buku sekarang!!!
Saturday, December 27, 2008
TAK IKTIRAF

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengajian Tinggi mengesahkan Universiti Maahad Al-Zaytun di Indramayu, Jawa Barat, Indonesia tidak diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) kerana tidak memenuhi instrumen kualiti dan standard ditetapkan kerajaan.
Mengulas lebih lanjut, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Ir. Idris Haron berkata, kampus yang bertapak di republik itu pada asasnya gagal mengikut senarai kursus-kursus wajib serta jumlah kredit yang diselaraskan oleh MQA.
"Selain itu, hasil kajian kementerian mendapati program yang ditawarkan seperti Usuluddin didapati bukan satu set kriteria yang dipersetujui di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,'' katanya kepada Kosmo! semalam.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz memberitahu, terdapat kira-kira 200 orang penuntut Malaysia belajar di universitu itu.
Universiti itu mula diragui apabila lokasi kampus itu terletak di satu kawasan yang dipercayai terangkum dalam wilayah 'kerajaan Islam tulen' bagi pengikut Ajaran MLM atau Ajaran Pemuda Al-Khafi.
Biarpun begitu, jelas Idris, pihaknya tiada kuasa untuk menghalang niat ibu bapa yang mahu menghantar anak-anak mereka belajar di sana meskipun universiti tersebut tidak diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.
"Kita tiada kuasa (halang), suka hati mereka tapi bila mana-mana pelajar balik dengan sijil atau diploma mereka, mereka tak akan diterima bekerja di agensi atau pun pejabat kerajaan di Malaysia," jelasnya.
Ditanya jika timbul sebarang masalah di kalangan pelajar di sana, katanya, kementerian akan campur tangan tetapi bukan merujuk individu itu sebagai seorang pelajar tetapi sebagai seorang rakyat Malaysia.
Monday, December 22, 2008
MAZ/UAZ
Al-Zaytun bukan khayalan
mazlina@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - "Kerajaan Islam yang mahu dibangunkan di Maahad Al-Zaytun oleh pertubuhan 'Ajaran MLM' yang diuar-uarkan bukan sekadar khayalan kerana ia benar-benar berlaku."
Demikian tegas bekas pengikut ajaran sesat itu, Dian (bukan nama sebenar) yang mengaku pernah membuat lawatan ke tapak projek Al-Zaytun di Jawa Barat, Indonesia pada Jun lalu sebelum mengisytiharkan dirinya secara rasmi keluar daripada gerakan sesat itu baru-baru ini.
Sambil menunjukkan bukti bergambar, Dian berkata, kawasan yang dibangunkan di atas sebidang tanah seluas 1,200 hektar di Haur Geulis, Indramayu, Jawa Barat itu merangkumi Universiti Maahad Al-Zaytun yang didakwa bakal menjadi pusat menyebarkan ajaran songsang itu.
"Saya ke sana bersama dengan rombongan yang mana ahlinya seingat saya lima hingga enam orang dengan kos bayaran ke sana lebih kurang RM4,000 seorang.
"Saya sebenarnya ke sana kerana ingin tahu akan bukti kewujudan kerajaan Islam seperti yang diperkatakan," katanya ketika ditemui di sini.
Menceritakan pengalaman kembaranya selama tiga hari dua malam di sana, Dian berkata, kawasan 'negara Islam' itu telah mula dibangunkan pada Ogos 2006.
"Ia bagaikan sebuah 'pulau setempat' dan pembangunannya begitu teratur.
"Ia dibahagikan kepada bangunan sektor pendidikan (merujuk kepada Universiti Maahad Al-Zaytun atau digelar pesantren), sektor pertanian dan penternakan.
----------
Persoalannya, sekiranya sungguh seperti dikata, kenapa memilih KASLAN? Bukankah kurang cerdik namanya?

